Asal usul Anjing

Asal usul anjing bela jinak terdiri daripada pencapahan evolusi anjing daripada serigala, pembelajinakannya, dan perkembangannya kepada jenis anjing dan baka anjing. Anjing merupakan salah satu anggota bagi genus Canis, yang membentuk sebahagian daripada canid-canid keserigalaan, dan merupakan spesies pertama dan satu-satunya karnivor besar yang telah dibelajinakkan.[14][26] Anjing dan serigala kelabu yang ekstan merupakan takson bersaudara[12][13][14] kerana serigala moden tidak berkait rapat dengan populasi serigala yang pertama kali dibelajinakkan.[14]

Pencapahan genetik antara anjing dengan serigala berlaku pada sekitar 40,000–20,000 tahun lalu, sejurus sebelum Maksimum Glasier Terakhir atau semasa itu.[27][1] Jangka masa ini mewakili had masa atasan untuk permulaan pembelajinakan kerana ini merupakan masa pencapahan dan bukan masa pembelajinakan, yang berlaku kemudian pula.[27][28] Pembelajinakan binatang bermula pada lebih daripada 15,000 tahun lalu, bermula dengan serigala kelabu (Canis lupus) oleh para pemburu-pemungut nomad.[27] Catatan arkeologi dan analisis genetik menunjukan bahawa tinggalan bagi anjing Bonn–Oberkassel yang dikebumikan bersebelahan dengan manusia pada 14,200 tahun lalu merupakan anjing pertama tanpa pertikaian, dengan tinggalan-tingalan berpertikaian lain dari 36,000 tahun lalu.[1] Hanya mulai 11,000 tahun lalu, manusia yang tinggal di Timur Dekat memasuki hubungan dengan populasi liar bagi aurochs, babi hutan, biri-biri, dan kambing.[27]

Tempat kejadian pembelajinakan anjing kekal diperdebatkan. Cadangan-cadangan paling munasabah menjangkau Eropah Barat,[9][28] Asia Tengah[28][29] dan Asia Timur.[28][30] Hal ini telah dijadikan lebih rumit oleh cadangan terkini bahawa sebuah populasi serigala awal berpisah lalu menjadi kelompok Eurasia Timur dan kelompok Eurasia Barat. Kedua-dua kelompok ini, sebelum pupus, dibelajinakkan secara terasing lalu menjadi dua populasi anjing tersendiri pada antara 14,000 dengan 6,400 tahun lalu. Populasi anjing Eurasia Barat secara beransur dan bahagian demi bahagian digantikan oleh anjing Asia Timur yang diperkenalkan oleh manusia pada sekurang-kurangnya 6,400 tahun lalu.[28][1] Cadangan ini turut diperdebatkan.[1]

Rujukan

WikiPedia: Anjing http://php.med.unsw.edu.au/embryology/index.php?ti... http://www.fci.be/ http://www.hlthss.gov.nt.ca/english/services/healt... http://injuryprevention.bmj.com/content/2/1/52.ful... http://www.cpvh.com/2011/07/27/gestation-in-dogs/ http://dogtime.com/diseases-shared-by-humans-pets-... http://veterinarycalendar.dvm360.com/canine-estrou... http://veterinarynews.dvm360.com/dvm/Working+with+... http://www.entirelypets.com/toxicfoods.html http://www.ancient.eu.com/article/184/